Kompleks Sukan Likas yang menjadi tempat mangsa lemas sebelum mayatnya dibawa ke hospital untuk dibedah siasat (gambar kecil). FOTO Ihsan Polis.
Kompleks Sukan Likas yang menjadi tempat mangsa lemas sebelum mayatnya dibawa ke hospital untuk dibedah siasat (gambar kecil). FOTO Ihsan Polis.
Fardy Bungga

SESI pembelajaran renang sekumpulan pelajar sekolah di Kompleks Sukan Likas,

Kota Kinabalu berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka, lemas.

Kejadian berlaku kira-kira 12 tengah hari, semalam dan disedari rakan dan jurulatih sebelum mangsa iaitu pelajar lelaki berusia 14 tahun dibawa ke Hospital Queen Elizebeth II (HQE2) untuk rawatan segera.

Bagaimanapun, mangsa gagal diselamatkan dan meninggal dunia ketika rawatan pada 12.38 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan awal mendapati, sekumpulan pelajar berkenaan sedang menjalani aktiviti pembelajaran renang bersama guru dan jurulatih renang.

Katanya, mangsa disedari lemas ketika sesi berlangsung dan segera dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan namun, disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan HQE2.

“Siasatan awal polis di tempat kejadian tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan sebagai punca kematian mangsa.

“Proses bedah siasat dijalankan hari ini di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizebeth I bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis masih menunggu laporan keputusan toksikologi daripada Jabatan Kimia dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 4:43 PM