Fardy Bungga


LELAKI yang keluar memburu biawak bersama abangnya ditemui lemas di sungai berhampiran kawasan penempatan setinggan Manggatal, dekat sini, kira-kira 2 petang, semalam.

Mangsa yang berusia 23 tahun dikatakan pergi ke sungai berkenaan kira-kira 9 pagi sebelum berpecah mengikut haluan masing-masing.

Pada 12 tengah hari, abangnya yang mahu pulang ke rumah cuba mencari mangsa, namun gagal dan beranggapan adiknya sudah pulang ke rumah.

Bagaimanapun, setibanya di rumah, ahli keluarga lain memberitahu adiknya masih belum pulang sejak pagi sebelum mengambil keputusan kembali ke sungai untuk mencari mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, mangsa ditemui terdampar di sungai berkenaan oleh keluarga mangsa sebelum melaporkan kepada polis.

Katanya, hasil pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal semasa tiba di klinik.

"Hasil pemeriksaan awal yang dilakukan oleh doktor mendapati tiada sebarang kesan kecederaan dan mangsa disahkan mati akibat lemas.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk proses bedah siasat," katanya.

Chandra berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2017 @ 12:53 PM