MANGSA diberikan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HQE, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
MANGSA diberikan bantuan pernafasan sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HQE, Kota Kinabalu. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Wanita warga Korea disahkan meninggal dunia akibat lemas selepas mandi di kolam renang di sebuah resort terkemuka di Jalan Coastal, di sini, jam 1 tengah hari, semalam.

Sunhee Choi, 52, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) jam 2.36 petang hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama anaknya mendaftar masuk di resort berkenaan Jumaat lalu.

"Ketika kejadian mangsa mandi bersama anak perempuannya. Selepas itu anak mangsa berehat di tepi kolam lalu terdengar jeritan mengatakan ada orang lemas.

"Anak mangsa kemudian meluru ke kolam renang dan menarik mangsa sebelum terkejut apabila mendapati mangsa itu adalah ibunya lalu meminta tolong daripada orang ramai," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian diberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum dibawa ke HQE untuk rawatan kecemasan.

"Pada jam 2.36 petang hari sama, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor dan siasatan mendapati tiada unsur jenayah berlaku.

"Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat lemas di kolam renang dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 8:36 PM