Junaidi Ladjana


Kota Kinabalu: Pelancong lelaki dari Brunei lemas ketika mandi di kolam renang pangsapuri di pusat bandar raya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 11.40 pagi itu, Muhammad Raemy Abdul Rahman, 31, yang bekerja sebagai jurulatih renang disahkan meninggal dunia 35 minit kemudian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, ketika kejadian mangsa mandi bersama tunangnya di kolam renang berkenaan.

"Menurut tunang mangsa, ketika berada di kolam renang, mangsa tidak timbul dalam masa yang agak lama. Kakak kepada tunang mangsa kemudian turun ke kolam itu dan membawa mangsa naik untuk diselamatkan.

"Pada 12.15 tengah hari, mangsa seterusnya dibawa ke Bahagian Kecemasan Zon Merah HQE untuk bantuan perubatan dan bantuan pernafasan, namun mangsa gagal diselamatkan. Pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Chandra berkata, pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tiada kesan kecederaan luar pada fizikal mangsa dan tiada unsur-unsur jenayah.

"Mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik HQE untuk bedah siasat dan pihak Konsulat Brunei akan dimaklumkan mengenai kejadian itu.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut namun polis masih meneruskan siasatan," katanya.

Chandra berkata, mangsa bersama tunangnya serta keluarga dari Brunei bercuti ke Sabah selama tiga hari dan tiba di Kota Kinabalu semalam.

"Mangsa bersama tunang serta ahli keluarganya dijangka pulang esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2017 @ 8:08 PM