Antara mangsa bot karam yang terselamat dan mayat tiga mangsa yang lemas  tiba di Jeti PPM Kota Kinabalu, pada 1.45 pagi tadi. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Antara mangsa bot karam yang terselamat dan mayat tiga mangsa yang lemas tiba di Jeti PPM Kota Kinabalu, pada 1.45 pagi tadi. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
Junaidi Ladjana & Mohd Ruzaini Zulkepli

 

Kota Kinabalu: Seramai 20 warga China  yang terselamat dalam kejadian bot karam di perairan berhampiran Pulau Mengalum, dekat sini, kelmarin, tiba di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu, pada1.45 pagi tadi.

Semua mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut menggunakan dua ambulans HQE dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dua lagi van yang menunggu sejak 8 malam tadi.

Tiga mayat warga China yang lemas dalam kejadian itu dibawa ke Unit Forensik HQE.

Turut berada di jeti berkenaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Ketua Pengarah APMM Laksamana Maritim, Datuk Seri Ahmad Puzi Ab Kahar; Pembantu Menteri Pelancongan,Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri,Datuk PangNyuk Ming dan Konsul Jeneral Republik China di Kota Kinabalu,Chen Peijie.

Dalam kejadian itu, bot yang membawa 31 penumpang termasuk 28 pelancong warga China karam di perairan Pulau Mengalum, dekat sini.

Dua kru bot, Sharezza Sslian Salian, 25 dan Aman Abdul, 38, ditemui selamat pada  3.30 petang semalam di perairan Pulau Tiga, Kota Kinabalu, 

Seramai 23 lagi mangsa termasuk tiga yang lemas ditemui di perairan Semarang, Labuan, pada hari yang sama oleh sekumpulan nelayan tempatan.

Enam lagi masih hilang termasuk kru bot yang karam itu.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 January 2017 @ 2:54 AM