Orang ramai membantu menguruskan mayat Fatimah (gambar kecil) yang maut selepas dilanggar kereta ketika melintas jalan. FOTO Ihsan Pembaca
Orang ramai membantu menguruskan mayat Fatimah (gambar kecil) yang maut selepas dilanggar kereta ketika melintas jalan. FOTO Ihsan Pembaca
Zatul Iffah Zolkiply


WANITA orang kurang upaya (OKU) maut selepas dilanggar kereta di Kilometer 112 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Sekolah Kebangsaan Seri Gelugor, Chukai, semalam.

Dalam kejadian 8.45 malam, Fatimah Ibrahim, 55, dari Kampung Gelugor mati dilanggar kereta Proton Wira ketika melintas jalan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, mangsa yang parah pada kepala dikejarkan ke Klinik Kesihatan Kerteh sebelum disahkan meninggal dunia.

Menurutnya, mangsa dipercayai dilanggar kereta Proton Wira yang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lelaki berusia 23 tahun itu gagal mengelak lalu melanggar mangsa yang melintas dari kanan ke kiri jalan.

“Pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan sementara mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 10:08 PM