Baharom Bakar


JURURAWAT berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke dalam tali air di Kilometer 8, Jalan Chukai-Air Putih di kawasan Kampung Paman, Chukai, hari ini.

Kemalangan pada 7.40 pagi itu berlaku ketika mangsa, Engku Ermanazira Engku Azmi, 29, dari Kampung Geliga, Kuala Kemaman, dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Air Putih.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata mangsa yang memandu Proton Saga BLM dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam tali air ketika cuba mengelak haiwan yang secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa sempat membuka pintu kereta yang dimasuki air dan berenang ke tebing tali air untuk menyelamatkan diri.

“Mangsa tidak cedera dan siasatan mendapati kemalangan itu berlaku di kawasan selekoh.

“Keadaan permukaan jalan ketika itu basah berikutan hujan,” katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Disember 2018 @ 2:18 PM
KERETA dipandu Engku Ermanazira terbabas dan terjatuh dalam tali air ketika mengelak haiwan melintas jalan di Kilometer 8, Jalan Chukai-Air Putih di Kampung Paman, Chukai, hari ini. FOTO Baharom Bakar.
KERETA dipandu Engku Ermanazira terbabas dan terjatuh dalam tali air ketika mengelak haiwan melintas jalan di Kilometer 8, Jalan Chukai-Air Putih di Kampung Paman, Chukai, hari ini. FOTO Baharom Bakar.