Mek Awang memberi angpau kepada cucunya. FOTO Ghazali Kor
Mek Awang memberi angpau kepada cucunya. FOTO Ghazali Kor
Ahmad Rabiul Zulkifli


KETIADAAN kanak-kanak Melayu berkunjung ke rumah ketika Tahun Baharu Cina kali ini menjadikan sambutan perayaan seorang warga emas tidak semeriah dahulu.

Jika dahulu, kediaman Yee Choo Im, 69, yang mesra dipanggil Mek Awang di Kampung Banggol Kemang, Tiruk di Marang, pasti menjadi tumpuan kanak-kanak seawal 9 pagi.

Menurutnya, dia merindui suasana perayaan Tahun Baharu Cina ketika mendiang suaminya, Chia Ban Hock masih ada.

Katanya, selepas suami meninggal empat tahun lalu, suasana semakin hambar dan tidak semeriah dahulu.

“Sebelum ini, memang menjadi tradisi kanak-kanak Melayu datang ke rumah saya seawal 9 pagi untuk beraya, tetapi sekarang tidak lagi.

“Mungkin kanak-kanak yang datang bertandang ke rumah sekarang sudah besar dan berhijrah ke tempat lain, sementara generasi baharu pula segan untuk meraikan perayaan ini bersama kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Mek Awang berkata, dia hanya ditemani tujuh anak dan 16 cucu serta kenalan rapat selepas kematian suaminya.

“Sambutan sekarang tidak sama seperti 10 tahun lalu. Masih terbayang wajah kegembiraan kanak-kanak Melayu ketika menikmati kuih bakul dan limau mandarin.

“Malah, saya dan mendiang suami turut memberikan mereka angpau sebagai menghargai kedatangan mereka,” katanya.

Menurutnya, selain kedatangan kanak-kanak, dia turut merindui kedatangan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Alias Abdullah yang sentiasa menjenguknya ketika Tahun Baharu Cina.

“Arwah memang wajib datang ke rumah meraikan kami dan dia sangat menggemari kuih bakul.

“Apabila terkenangkan semua kenangan itu, saya sedih sehingga boleh menitiskan air mata,” katanya.

Sementara itu, menantunya, Lua Tse Ling, 34, berkata, dia dan suaminya, Chia Soon Thye, 35, menyambut perayaan itu bersama ibunya setiap tahun.

“Memang menjadi budaya kami, menantu perempuan akan menemani suami menyambut Tahun Baharu Cina bersama ibunya.

“Perayaan ini memang meriah dengan kedatangan adik-beradik dan kenalan tetapi lebih meriah sekiranya kanak-kanak Melayu dan penduduk kampung turut bertandang ke rumah meraikan kami,” katanya.

Mek Awang merindui sambutan Tahun Baharu Cina yang baginya sudah tidak sama seperti 10 tahun lalu. FOTO Ghazali Kori
Mek Awang merindui sambutan Tahun Baharu Cina yang baginya sudah tidak sama seperti 10 tahun lalu. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 4:02 PM