ANTARA peniga Cina Muslim yang turut serta dalam Karnival Tahun Baharu Cina di Sungei Ujong Walk, di sini. FOTO Ahmad Hasbi
ANTARA peniga Cina Muslim yang turut serta dalam Karnival Tahun Baharu Cina di Sungei Ujong Walk, di sini. FOTO Ahmad Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Golongan Cina Muslim tidak ketinggalan turut sama menghangatkan kemeriahan Karnival Tahun Baru Cina di Sungei Ujong Walk, di sini, menjelang perayaan itu tidak lama lagi.

Buat julung kalinya sepanjang penganjuran karnival di lokasi yang diberi jolokan 'China Town' Seremban itu, penganjur dengan usahasama EXCO Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Nicole Tan Lee Koon mewujudkan 'Chinese Muslim Street Food'.

Peniaga nasi lemak, Nur Azreen Ku Abdullah, 62, berkata, dia memeluk Islam 16 tahun lalu dan terus meraikan sambutan perayaan berkenaan kerana ahli keluarganya masih merayakannya.

"Saya berasal daripada keluarga Baba Nyonya dari Melaka dan memang menyambut Tahun Baharu Cina. Bagi saya tiada masalah jika kami turut sama dalam karnival untuk menjual makanan halal.

"Saya berpendapat, karnival yang julung kalinya membabitkan golongan Cina Muslim ini sangat baik terutama dalam mengurangkan jurang perbezaan agama di negara ini, khususnya di Negeri Sembilan," katanya.

Edy Syarman Alee Ng, 44, dan isterinya, Tan Ee Lin, 35, yang menjual minuman kesihatan masyarakat Tionghua berkata, masih terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat apabila bangsa lain beragama Islam.

"Walaupun kami memeluk Islam, kami masih berbangsa Tionghua. Ada orang beranggapan apabila memeluk Islam, kami akan menjadi bangsa Melayu.

"Seperti saya, setiap tahun saya akan menyambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga isteri. Saya memang beragama Islam sejak kecil kerana bapa memeluk Islam sebelum saya dilahirkan.

"Program atau karnival seperti amat bagus. Malah saya sendiri turut menjalankan 'street' dakwah yang memberi fokus terhadap penerangan Islam kepada masyarakat Tionghua. Terdapat juga selingan program kaligrafi Cina," katanya.

Sementara itu, Nicole berkata, selain mewujudkan jualan makanan halal, karnival daripada 31 Januari hingga 8 Februari ini turut menampilkan persembahan kebudayaan pelbagai kaum.

"Di Sungei Ujong Walk memang terdapat 32 gerai makanan Cina. Bagi karnival sempena Tahun Baharu Cina kali ini, kami membuka 10 gerai makanan Cina halal.

"Ia bertujuan untuk menarik semua kaum untuk datang ke karnival bagi melihat dan merasai kemeriahan Tahun Baharu Cina.

"Terdapat persembahan tarian kipas membabitkan wanita Cina Muslim, tarian membabitkan kanak-kanak Melayu dengan lagu Mandarin serta tarian singa daripada penari berbangsa Melayu," katanya.

Jelas Nicole, peniaga Cina Muslim bercadang untuk meneruskan jualan gerai mereka setiap hujung minggu selepas ini dan pihaknya menyambut baik perkara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Februari 2024 @ 1:06 PM