KANAK-kanak yang kurang bernasib baik dari Persatuan Kebajikan Anak Anak Yatim Sayang KL dan Selangor diraikan.
KANAK-kanak yang kurang bernasib baik dari Persatuan Kebajikan Anak Anak Yatim Sayang KL dan Selangor diraikan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Pusat beli-belah Alamanda meraikan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini dengan menyantuni kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari Persatuan Kebajikan Anak Anak Yatim Sayang KL dan Selangor.

Seramai 15 kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun dibawa ke pusat beli-belah itu untuk menikmati hidangan, menyaksikan pertunjukan tarian singa dan bersantai dengan permainan tunggangan.

Lebih istimewa, mereka turut menerima sumbangan angpau dan limau mandarin daripada Pengurus Besar Alamanda, Pang Sook Fong.

Untuk menceriakan lagi program, rakan niaga pusat beli-belah itu turut menyumbang makanan snek dan barangan lain kepada kanak-kanak terbabit.

Pengarah Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, Tahun Harimau melambangkan permulaan baharu ketika negara berada dalam pemulihan dari pandemik Covid-19.

Katanya, ia juga adalah waktu terbaik untuk merasai kembali suasana menyambut perayaan bersama-sama.

"Walaupun beraya di samping rakan-rakan dan keluarga adalah penting, kita mesti sentiasa mengingati mereka yang serba kekurangan.

"Justeru, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR), kami bertuah untuk menjadi hos kepada kanak-kanak berkenaan dan berharap program ini akan mejadi kenangan yang tak dapat mereka lupakan," katanya.

Sementara itu, penjaga Persatuan Kebajikan Anak Anak Yatim Sayang KL dan Selangor, Foo Jong Hong berkata, layanan istimewa daripada pusat beli-belah berkenaan begitu bermakna kepada kanak-kanak terbabit.

"Ketika orang lain berpeluang meraikan Tahun Baharu Cina bersama yang tersayang, kanak-kanak ini tidak dilupakan.

"Mereka bukan hanya menerima angpau atau barangan, tetapi layanan dan perhatian yang istimewa.

"Ia sememangnya meninggalkan kenangan manis kepada kanak-kanak berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 6:58 AM