PENAGIH yang ditahan dalam Op Sarang. FOTO ihsan polis
PENAGIH yang ditahan dalam Op Sarang. FOTO ihsan polis
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


LELAKI berusia 70 tahun ditahan dalam serbuan polis ke ‘port’ melepaskan gian dadah di kawasan pasar awam lama, Tanjung Piandang, Parit Buntar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, warga emas itu antara 23 penagih yang ditahan dalam Op Sarang bermula jam 7 pagi hingga 12.30 tengah hari.

Katanya, mereka yang ditahan dalam serbuan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) daerah Kerian itu berusia antara 30 hingga 70 tahun.

“Dalam serbuan itu polis menahan empat lelaki serta merampas 25.7 gram dadah jenis methaphetamine dan 0.5 gram heroin.

“Empat lelaki ini disiasat mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2)1, dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Selebihnya, seramai 19 lagi yang ditahan diserahkan kepada pihak AADK untuk tindakan lanjut,” katanya dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, operasi akan diteruskan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 January 2019 @ 9:12 AM