OMAR (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan pistol, peluru, dadah dan peralatan makmal yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
OMAR (tiga dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan pistol, peluru, dadah dan peralatan makmal yang dirampas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


POLIS menahan dua lelaki serta merampas sepucuk pistol CZ 75 P-01 Luger bersama 35 peluru hidup dan satu kelopak peluru kosong dalam serbuan ke garaj kereta di Bagan Selatan Tanjung Piandang, Parit Buntar, Bagan Serai, Jumaat lalu.

Selain itu, polis turut merampas 905.31 gram (g) dadah jenis heroin, methamphetamine dan Eramin 5.

Berdasarkan beberapa bahan lain dirampas, polis percaya garaj itu mahu dijadikan sebagai makmal memproses dadah.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, berdasarkan risikan dan maklumat awam, pihaknya menyerbu lokasi berkenaan dan menahan kedua-dua suspek berusia 40-an pada 11 malam.

Katanya, berlaku pergelutan antara anggota polis dengan suspek ketika serbuan, namun kedua-duanya ditahan.

"Pemeriksaan polis menemui satu paket lutsinar dipercayai dadah jenis methamphetamine di dalam beg silang hitam yang dipakai salah seorang suspek.

"Seterusnya polis memeriksa kereta Perodua Kancil di dalam garaj berkenaan dan menemui satu beg kertas berwarna kuning tertulis 'Continental' yang di dalamnya terdapat empat paket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin.

"Turut ditemui sepucuk pistol bertulis CZ 75 P-01 Luger 9 kaliber nombor siri A051046 bersama satu kelopak peluru kosong dan 35 peluru hidup bertulis Thai Arm Auto 380," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, hari ini.

Omar berkata, pemeriksaan lanjut menemukan tiga paket lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis heroin, satu paket plastik berisi 50 pil dipercayai Eramin 5 dan satu kotak kertas dalam keadaan terbuka bertulis 'celloceutica'.

Katanya, pihaknya turut menemui pelbagai peralatan dan bahan kimia dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

"Saya percaya jika tindakan pantas tidak diambil, berkemungkinan besar kedua-dua suspek ini akan mewujudkan makmal dadah di situ.

"Kedua-dua suspek yang ditangkap adalah penduduk setempat dan penagih tegar di kawasan itu dan salah seorang dari mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah," katanya.

Beliau berkata, semua dadah dirampas berjumlah 905.31g dan bernilai pasaran lebih RM25,000.

Katanya, polis turut merampas Perodua Kancil dipercayai digunakan untuk aktiviti pengedaran dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 4:14 PM