Daripada Mohd Fahmi Mohd Yusof

KEMENTERIAN Luar Malaysia dan Singapura, hari ini mencapai persetujuan bersama untuk menggantung pewujudan Kawasan Larangan Kekal (RA) di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

Penggantungan pewujudan RA di ruang udara Pasir Gudang dan tatacara ILS itu berkuat kuasa serta-merta secara bersama selama tempoh sebulan sebagai permulaan.

Perkara itu ditegaskan Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan, pada sidang media bersama dengan rakan sejawatnya dari Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah di Pejabat Kementerian Luar Singapura, di Singapura, hari ini.

Vivian berkata, Malaysia dan Singapura bersetuju Kementerian Pengangkutan daripada kedua-dua negara perlu mengadakan pertemuan segera.

“Pertemuan saya bersama Menteri Saifuddin tadi berjalan dalam keadaan positif dan kedua-dua pihak mengulangi komitmen mengekalkan dan menjaga hubungan baik dua hala Malaysia dan Singapura.

“Kami juga bersetuju, pada masa sama Menteri Pengangkutan dari kedua-dua negara perlu mengadakan pertemuan dalam tempoh terdekat untuk berbincang mengenai RA dan tatacara ILS Lapangan Terbang Seletar dalam memastikan keselamatan dan keberkesanan sektor penerbangan awam,” katanya pada sidang media bersama di Singapura, hari ini.

Berhubung isu sempadan maritim, Saifuddin berkata, hasil pertemuan hari ini menyaksikan Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menubuhkan satu kumpulan petugas khas.

“Kumpulan petugas khas ini akan diketuai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Cher Wee Kiong dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob untuk melakukan kajian serta perbincangan mengenai perundangan dan hal operasi bagi menyediakan asas untuk rundingan pada masa akan datang.

“Mereka juga perlu membentangkan hasil kajian kepada Kementerian Luar Malaysia dan Singapura dalam tempoh dua bulan,” katanya.

Keputusan yang dicapai dalam pertemuan hari ini dilihat meredakan situasi ketegangan antara kedua-dua negara, selain menjadi titik permulaan rundingan dan perbincangan secara teratur antara Malaysia-Singapura.

Sebelum ini satu notis dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) Disember lalu, memaklumkan pelaksanaan tatacara ILS akan dikuat kuasa di landasan 21 Lapangan Terbang Seletar pada jam 12 tengah malam 3 Januari lalu.

Menerusi pelaksanaan tatacara ILS, pesawat yang mendarat di landasan berkenaan perlu melalui ruang udara Pasir Gudang, yang hanya terletak hanya dua kilometer merentasi Selat Johor ke Lapangan Terbang Seletar.

Malaysia kemudian mahu Singapura menarik balik rancangan melaksanakan ILS atau mengubah laluan penerbangan ke Lapangan Terbang Seletar di republik itu kerana laluan penerbangan untuk sistem itu dikatakan akan memberi impak besar kepada pembangunan di Pasir Gudang susulan sekatan ketinggian struktur di kawasan berkenaan.

Malaysia juga mengisytiharkan pewujudan RA di ruang udara Pasir Gudang berkuat kuasa semalam dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (DCA) mengeluarkan Notis Kepada Juruterbang (NOTAM) pada 25 Disember lalu.

Selain itu, Malaysia juga mendakwa Pelabuhan Johor di Pasir Gudang juga akan berada dalam keadaan berisiko tinggi selain menghadapi pelbagai sekatan susulan pelaksanaan sistem pendaratan itu.

Dalam laporan eksklusif BH Jumaat lalu, mendedahkan beberapa pesawat ringan dan kapal terbang dilihat berlegar di ruang udara Malaysia sebelum mendarat di Lapangan Terbang Seletar susulan pelaksanaan tatacara ILS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 4:59 PM
Saifuddin (kiri) bersama Balakrishnan pada sidang media di Singapura. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
Saifuddin (kiri) bersama Balakrishnan pada sidang media di Singapura. FOTO Mohd Azren Jamaluddin