Izlaily Nurul Ain Hussein


SEBAHAGIAN besar daripada 700 penduduk Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang membantah pelantikan ketua kampung baharu yang bukan anak jati atau penduduk asal kampung berkenaan.

Wakil penduduk, Rosman Roslie, berkata majoriti penduduk kampung itu tidak bersetuju apabila terdapat dua lagi calon ketua kampung yang dicadangkan adalah anak jati kampung berkenaan termasuk dirinya, namun orang luar pula dipilih.

“Kami membantah pelantikan orang luar yang tidak tahu menahu mengenai hal kampung ini.

“Jika mengikut sejarah, dia (ketua kampung baharu) hanya pernah tinggal menumpang di kampung ini ketika darjah satu hingga enam,” katanya ketika ditemui di Kampung Tanjung Langsat, hari ini.

Rosman berkata, mereka mendapat tahu mengenai pelantikan ketua kampung baharu bagi 2019 itu menerusi berita dikongsi dan dipanjangkan dalam laman sembang WhatsApp pada 26 Disember lalu dan mereka melihat nama ketua kampung itu dalam senarai berkenaan berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Katanya, secara rasminya penduduk kampung yang menolak pelantikan itu sudah menyerahkan memorandum bantahan kepada pejabat Pegawai Daerah Johor Bahru.

“Isu bantahan ini sudah di dalam makluman Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong dan beliau sudah datang ke kampung untuk berbincang mengenai isu ini, kelmarin.

“YB (Steven Choong) sudah berjanji untuk membantu penduduk di sini dan beliau memberi tempoh tiga hari untuk ketua kampung baharu ini meletakkan jawatan.

“Sekiranya masih gagal, beliau memberi tempoh seminggu lagi kepada dia (ketua kampung baharu) untuk turun padang bertemu dengan penduduk dengan disaksikan beliau sendiri,” katanya.

Menurut Rosman, Steven bagaimanapun memberitahunya sekiranya ketua kampung baharu gagal dalam tempoh diberikan, beliau sendiri akan mengeluarkan surat terus ke Pejabat Pegawai Daerah Johor Bahru untuk mengeluarkan surat pembatalan pelantikan itu.

“Apa yang kami mahukan adalah ketua kampung yang juga anak tempatan kampung ini, bukan orang luar.

“Ini kerana sejak lebih 100 tahun usia kampung ini, semua ketua kampung terdiri daripada anak jati Kampung Tanjung Langsat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 7:39 PM
PENDUDUK Kampung Tanjung Langsat menunjukkan surat bantahan pelantikan ketua kampung baharu yang bukan anak jati atau penduduk asal kampung berkenaan, hari ini. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein.
PENDUDUK Kampung Tanjung Langsat menunjukkan surat bantahan pelantikan ketua kampung baharu yang bukan anak jati atau penduduk asal kampung berkenaan, hari ini. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein.