LELAKI berusia 35 tahun dikhuatiri lemas di perairan Selat Johor di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Putih. FOTO Ihsan Bomba
LELAKI berusia 35 tahun dikhuatiri lemas di perairan Selat Johor di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Putih. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Amanina Suhaini


Pasir Gudang: Seorang lelaki berusia 35 tahun dikhuatiri lemas di perairan Selat Johor di Kampung Tanjung Langsat, Pasir Putih, dekat sini, tengah hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam Deputi Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, sekitar 12 tengah hari, mangsa bersama seorang rakan pergi memancing dengan menaiki sampan ke sebuah rumah rakit di perairan itu.

Katanya, berikutan angin kuat dan arus laut deras, mereka dipercayai naik ke rakit dan menambat sampan di rakit terbabit.

"Selepas mangsa menyedari tali penambat sampan itu terlepas, mangsa terus terjun dan berenang ke laut untuk mendapatkan semula sampan berkenaan dari terus hanyut dibawa arus.

"Tidak lama kemudian, rakan mangsa yang berada di rakit melihat mangsa dalam keadaan tenggelam timbul di air sambil meminta tolong.

"Rakan mangsa meminta pertolongan, namun rakan lain yang sampai ke situ mendapati kelibat mangsa tidak kelihatan dan dipercayai lemas akibat dibawa arus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar Mushaddat berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) giat dijalankan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia/APMM) dan Polis Bantuan Pelabuhan Tanjung Langsat.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang Timbalan Penguasa Bomba II Ibrahim Omar berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan 2.37 petang, seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya bertindak membuat operasi mencari dan menyelamat dengan menggunakan kaedah surface searching (pencarian permukaan) menggunakan sebuah bot dan skop pencarian dilakukan pada jarak satu kilometer sekitar rumah rakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2020 @ 10:25 PM