PESAWAT komersial berlepas dan tiba dari Lapangan Terbang Changi Singapura yang dapat dilihat di ruang udara Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
PESAWAT komersial berlepas dan tiba dari Lapangan Terbang Changi Singapura yang dapat dilihat di ruang udara Kampung Tanjung Langsat, Pasir Gudang.
Mohd Fahmi Mohd Yusof

Pasir Gudang: Orang ramai sekitar kawasan ini menyuarakan kebimbangan susulan pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Lapangan Terbang Seletar di Singapura yang berkuat kuasa hari ini.

Tinjauan di sekitar kawasan ini terutama di Kampung Tanjung Langsat di sini, mendapati rata-rata penduduk bimbang dengan jarak penerbangan kapal terbang terlalu rendah selain bunyi yang bising.

Beberapa pesawat yang tidak dapat dipastikan sama ada dari Lapangan Terbang Changi atau Lapangan Terbang Seletar, dilihat terbang rendah di perairan Pasir Gudang dan Pengerang setiap lima minit.

Pemandu lori, Suhairy Ahmad Moin, 43, berkata, sepanjang bertugas di kawasan Pasir Gudang, banyak pesawat terbang rendah terutama di kawasan perairan, namun tidak dapat dipastikan sama ada ia baru berlepas atau mahu mendarat di Singapura.

“Kebiasaannya daripada kefahaman saya sendiri semua kapal terbang itu adalah tujuan komersial dan biasanya menuju atau terbang dari Lapangan Terbang Changi di Singapura.

“Terfikir juga macam-macam perkara apabila melihat pesawat terbang terlalu rendah, bimbang jika berlaku apa-apa dan terhempas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Pekerja swasta, Noraisha Othman, 34, berkata, setiap kali terlihat pesawat terbang rendah dalam kawasan Pasir Gudang, pasti dia akan berasa bimbang dan ngeri.

“Ngeri rasa bila lihat di atas kepala pesawat begitu dekat terbang dan kadang kala terfikir juga keselamatan penduduk di sini.

“Sepatutnya laluan pendaratan perlu ditetapkan jauh dari kawasan penempatan bagi memastikan keselesaan penduduk,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Tanjung Langsat, Ibrahim Ramli, 69, berkata, bagi penduduk di sini pula berbeza penerimaannya dan menganggap kehadiran kapal terbang itu sebagai tarikan yang dinantikan terutama buat kanak-kanak di kampung berkenaan.

“Kalau kapal terbang, di sini ramai datang untuk melihat ia terbang rendah terutama di jeti hujung kampung ini, namun dari segi bunyi bagi kami tidaklah mengganggu sangat.

“Masalah timbul bila ada jet pejuang daripada Singapura yang masuk ke ruang udara di sini, tidaklah kerap tetapi pernah dan ia sedikit memberi gangguan bunyi, namun saya difahamkan dari aspek pertahanan perjanjian dibuat antara Malaysia dan Singapura. Itu saya tidak tahu macam mana.

“Tetapi jika ia membabitkan masalah keselamatan negara, saya fikir kerajaan perlu segera selesaikan konflik ini supaya ia tidak menimbulkan sebarang masalah di kemudian hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 10:44 AM