KERJA pemasangan bendera Parti Warisan Sabah (WARISAN) giat dijalankan di Kampung Langsat, Kimanis. FOTO NORASIKIN DAINEH.
KERJA pemasangan bendera Parti Warisan Sabah (WARISAN) giat dijalankan di Kampung Langsat, Kimanis. FOTO NORASIKIN DAINEH.
Norasikin Daineh


KIMANIS: Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semakin rancak apabila calon bertanding memperhebatkan pemasangan bendera parti masing-masing.

Aktiviti memasang bendera parti dilihat sudah bermula di kawasan kampung apabila lebih 20 belia berada di tepi jalan melakukan kerja pemasangan bendera Parti Warisan Sabah (WARISAN) di Kampung Langsat, di sini, hari ini.

Lebih 100 bendera dipasang di sepanjang kampung berkenaan selepas tempoh berkempen bermula sebaik dua calon dari WARISAN dan Barisan Nasional (BN) diumumkan semalam.

Seorang penduduk, Villorry Elandy, 20, menganggap pemasangan bendera di sepanjang tepi jalan di kampungnya itu sebagai tanda demam pilihan raya sudah bermula.

Villorry dan Ryner memasang bendera WARISAN di Kampung Langsat, Kimanis.
Villorry dan Ryner memasang bendera WARISAN di Kampung Langsat, Kimanis.

“Saya bersama sekumpulan penduduk kampung mula bekerja memasang bendera di tepi jalan dan ada lebih 100 bendera kami dapat hari ini untuk dipasang.

“Bagi saya pemasangan bendera ini adalah bermulanya tempoh berkempen untuk pilihan raya sebelum hari mengundi pada 18 Januari nanti,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut rakannya, Ryner Anting, 37, dia teruja kerana tidak pernah berlaku pilihan raya bagi kawasan mereka selain Pilihan Raya Umum (PRU) dua tahun lalu.

“Saya anggap, kali ini persaingan sengit dan 50-50, kerana kedua-dua calon iaitu Datuk Mohamad Alamin (BN) dan Datuk Karim Bujang (WARISAN) dikenali ramai oleh penduduk setempat,” katanya.

Katanya lagi, siapa pun yang akan menang nanti diharap pembangunan di kampung sekitar kawasan ini diteruskan.

“Sebelum ini pembangunan pun bagus juga tetapi saya mahu lebih lagi dan diharap mana-mana pihak yang memenangi akan mengambil tahu kebajikan rakyat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 January 2020 @ 5:28 PM