Zatul Iffah Zolkiply


“KEADAANNYA sangat lemah. Dia hanya mendiamkan diri dan menundukkan kepala. Saya ada memberikan air dan roti, namun dia tidak memberi sebarang respons,” kata Ahmad Nazrul Muhammad, 30, individu terawal yang menemui kereta milik Nur Najiha Rahimi, 25.

Nur Najiha guru agama dan warden di Madrasah Moden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) di Jertih sebelum ini dilaporkan hilang sejak petang Isnin lalu dan ditemui dalam keadaan selamat di Bandar Permaisuri, Setiu kira-kira jam 9.30 malam semalam.

Menurut Ahmad Nazrul, dia yang bertugas di Pejabat Kesihatan Daerah Setiu sebelum itu melihat kereta berkenaan berhampiran gimnasium milik rakannya ketika melakukan rondaan penguat kuasaan merokok di sekitar daerah Setiu, tengah hari semalam.

Bagaimanapun, katanya, ketika itu, dia tidak tahu mengenai kehilangan wanita terbabit dan hanya mengetahuinya selepas kejadian terbabit dikongsi rakannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Saya terkejut apabila jenis kereta dan nombor pendaftaran sama sebelum mengambil keputusan ke kawasan berkenaan yang terletak kira-kira dua kilometer selepas menunaikan solat Isyak.

“Sebelum menghampiri kereta itu, saya sempat menghubungi bapa guru terbabit dan dia meminta saya menenangkan dan menahan anaknya sementara menunggu ketibaan mereka.

“Saya turut memanggil beberapa rakan sebelum menghampiri kereta berkenaan memandangkan keadaan di situ gelap dan sunyi.

“Sebaik menghampiri kereta itu, saya nampak seorang wanita sedang terbaring di tempat duduk pemandu sebelum bertindak mengetuk tingkapnya.

“Apabila dia membuka tingkap, saya segera menarik tombol kuncinya lalu membuka pintu kereta berkenaan,” katanya.

Menurut Ahmad Nazrul, guru terbabit berada dalam keadaan lemah sebelum tidak sedarkan diri.

“Saya cuba berbual dengannya dan memaklumkan keluarga sedang risau, namun dia tidak memberi sebarang tindak balas.

“Bimbang kejadian buruk berlaku, kami berempat menunggu di luar kereta sementara menunggu ketibaan polis dan ambulan serta ahli keluarga guru berkenaan,” katanya.

Berita berkaitan

'Jiha selamat, tapi keliru...'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 9:17 PM