NUR Ain Najiha yang nyaris lemas dalam tragedi meragut dua rakan sebayanya di lagun Boarwalk Setiu, Pengkalan Gelap, Setiu semalam, kini dalam keadaan stabil di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin.
NUR Ain Najiha yang nyaris lemas dalam tragedi meragut dua rakan sebayanya di lagun Boarwalk Setiu, Pengkalan Gelap, Setiu semalam, kini dalam keadaan stabil di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu. FOTO Hanneeyzah Bariah Baharin.
Hanneeyzah Bariah Baharin dan Nurul Fatihah Sulaini


“SAYA tak akan mandi laut atau sungai lagi. Saya trauma dan kehilangan kawan baik kerana mandi di lagun itu,” kata Nur Ain Najiha Abdul Rani, 12, mangsa yang terselamat dalam kejadian lemas meragut nyawa dua rakan baiknya di lagun Boardwalk Setiu, Pengkalan Gelap, Setiu, semalam.

Nur Ain Najiha berkata, dia sedih kehilangan dua rakan baiknya, Nur Afizatul Nabihah Mohd Jaafar, 12, dan Nur Qumaira Qistina Mohd Nizam, 12, yang juga rakan sekelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rahmat.

Dalam kejadian 12 tengah hari semalam, mayat Nur Afizatul Nabihah ditemui pada 1.30 tengah hari manakala mayat Nur Qumaira Qistina ditemui pada 4 petang.

Seorang lagi rakan Nur Ain Najiha yang terselamat ialah Nur Aisyah Syakira Ishak, 12.

Nur Ain Najiha berkata, mereka berempat sangat teruja berkelah dan mandi buat kali pertama di lagun itu untuk menghilangkan tekanan selepas selesai menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), namun tidak menyangka kegembiraan mereka berakhir tragedi.

“Kami datang bersama keluarga Qumaira menaiki dua kereta. Apabila sampai pada 11 pagi, kami terus turun ke lagun untuk mandi.

“Pada masa sama, Nabihah mengajak kami ke kawasan lebih dalam untuk mencari kepah. Ketika leka mencari kepah, air sudah separas dada dan tiba-tiba kaki terpijak pasir yang landai lalu kami terkapai-kapai dan lemas,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HNZ) di Kuala Terengganu, hari ini.

Nur Ain Najiha berkata, mereka sangat rapat dan belajar bersama-sama di rumah keempat-empat mereka secara bergilir-gilir sebelum menduduki UPSR.

“Nabihah seorang sahabat yang ceria dan banyak cakap, Nur Qumaira pula agak pendiam. Kami bermain bersama sejak kecil dan saya sekelas dengan Nabihah sejak Tahun Satu,” katanya sayu.

Ibu Nur Ain Najiha, Che Zaiton Che Hassan, 54, berkata beliau yang ketika itu berada di rumah terkejut dimaklumkan mengenai kejadian, namun bersyukur anaknya terselamat.

“Penduduk kampung beritahu beberapa orang yang berada di lokasi kejadian anak saya sudah terdampar di dasar lagun itu pada kedalaman kira-kira hampir 10 meter.

“Mereka kata mujur ada penduduk kampung di situ yang cekap dan pandai berenang. Selepas menaikkan Nur Ain Najiha, mereka segera memberi bantuan kecemasan,” katanya yang berterima kasih kepada pihak menyelamatkan anaknya.

Sementara itu, di Hospital Setiu, Nur Aisyah Syakira berkata, dia sempat mendengar Nur Qumairah menjerit meminta tolong dan dalam masa sama dia sendiri lemas dan tenggelam timbul.

“Kejadian itu berlaku sekelip mata. Saya hampir lemas kerana tiba-tiba tenggelam timbul dan kaki sudah tidak berpijak pada dasar sungai.

“Saya hanya tersedar ketika orang pikul bawa naik ke daratan,” katanya.

Nur Aisyah berkata, antara mereka berempat dia paling rapat dengan Nur Qumairah Qistina kerana mereka berjiran, selain satu kumpulan belajar dan satu kelas.

“Nur Qumairah datang ke rumah pada petang Sabtu untuk mengajak saya mengikut keluarganya berkelah di situ.

“Pagi Ahad pun sebelum bertolak ibu Nur Qumairah sempat telefon sekali untuk meminta izin ibu saya supaya membenarkan saya pergi,” katanya.

Katanya yang juga anak keenam dari tujuh beradik itu, sehingga kini dia masih tidak dapat melupakan detik meragut nyawa dua rakan baiknya kerana berlaku depan matanya sendiri.

Berita berkaitan

'[UPDATE] 'Nak gembirakan mereka lepas UPSR...'

'Dua lemas, dua selamat [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 7:32 PM