MUHAMMAD Nazrul disambut isteri, Nur Afiqah Azwana serta ahli keluarga sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
MUHAMMAD Nazrul disambut isteri, Nur Afiqah Azwana serta ahli keluarga sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Samadi Ahmad

Sepang: Meskipun kesihatannya merosot sepanjang berada di Makkah, Muhammad Nazrul Salleh bersyukur dapat menyempurnakan ibadah haji dan kembali ke tanah air dalam keadaan baik, semalam.

Pegawai Majlis Agama Islam Johor (Maij) berusia 26 tahun itu antara 298 jemaah haji kumpulan pertama yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini menerusi penerbangan Saudi Airlines SV 5612.

"Ketika di Makkah saya diserang demam dua kali sebelum ke Arafah dan ketika pulang dari Mina, namun alhamdulillah, dapat laksana ibadah haji dengan sempurna.

"Saya gembira dapat mengerjakan haji pada usia muda selepas mendaftar sejak sekolah rendah," katanya.

Muhammad Nazrul yang bakal menyambut kelahiran zuriat pertama tidak lama lagi turut menganggap rezeki bergelar haji muda sebagai anugerah tidak ternilai.

Sementara itu, isteri Muhammad Nazrul, Noor Afiqah Azwana, 25, memberitahu menunggu kepulangan suaminya sejak awal pagi dan ditemani ibu bapa dan beberapa ahli keluarga lain.

"Kami bergerak dari Johor semalam (kelmarin) dan menginap di inap desa di Bandar Baru Salak Tinggi untuk memudahkan ke KLIA.

"Syukur suami dapat penerbangan pertama dan boleh dia menemani saya bersalin dijangka 8 Ogos ini," katanya yang menyambut suaminya dengan bunga dan coklat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Julai 2022 @ 7:00 AM