FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


PEMANDU peribadi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memukul isterinya dengan menggunakan seterika, Disember lalu.

R Chandra Mohan, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memukul M Puanes, 34, yang bekerja di bahagian pentadbiran dengan seterika dan plug (palam) penyambung di rumah mereka di Sentul, pada jam 1.30 pagi, 29 Disember tahun lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aisyah Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam M Mathavan.

Terdahulu, Siti Aisyah tidak mencadangkan sebarang jaminan kepada tertuduh namun Mathavan memohon anak guamnya diberikan jaminan dengan alasan dia penanggung tunggal keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu dia dan keluarganya dilarang mengganggu saksi dan mangsa.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 4:08 PM