FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Nor Azura Abdul Jalil


DUA rakan masing-masing dihukum penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan merompak pemandu perkhidmatan e-hailing dengan bersenjatakan pisau, bulan lalu.

Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu terhadap R Nanthakumar, 33, dan C S Komagan, 41, sebaik saja pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 11 Disember tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa merompak secara berkumpulan dan mendatangkan kecederaan terhadap Muhammad Asfaruddin Sabarudin, 26, dengan mengambil wang tunai RM80 di Jalan Bukit Tunku, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, pada jam 4.05 petang, 5 Disember tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ahmad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nanthakumar dan Komagan merayu mahkamah memberikan hukuman ringan kepada mereka dengan alasan mereka menanggung keluarga.

Siti Aishah bagaimanapun memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran dengan mengambil kira mangsa dalam kes ini mengalami kecederaan.

Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh menempah perkhidmatan e-hailing dari perjalanan dari Times Square ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Namun, keduanya mengubah haluan ke Jalan Bukit Tunku dengan alasan untuk mengambil komputer riba dan setibanya di sana, tertuduh pertama mengacukan pisau lipat ke perut mangsa dan seorang lagi mencekik leher sebelum meminta mangsa mengeluarkan semua wang dan barangan berharga.

Ketika kejadian itu, berlaku pergelutan dan tertuduh pertama menikam peha kiri mangsa dan melarikan wang tunai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 January 2019 @ 2:47 PM