ABDUL RAZAK melambai kepada muridnya. FOTO Hamzah Osman.
ABDUL RAZAK melambai kepada muridnya. FOTO Hamzah Osman.
Hamzah Osman


SELEPAS 37 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan, guru besar sebuah sekolah di Langkawi menamatkan kerjaya dengan penuh gaya apabila diarak menaiki kereta klasik jenis Limosin Chrysler 300.

Abdul Razak Jusoh, 60, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Negeri, jelas sayu dan sebak ketika melambaikan tangan ke arah kira-kira 1,000 murid dan guru sambil menaiki kenderaan itu.

Terdahulu, Abdul Razak yang berasal dari Jitra, turut memeriksa perbarisan pasukan beruniform sekolah dan diarak sejauh 50 meter diiringi paluan gendang.

Beliau yang digelar sebagai ‘ayahanda’ dalam kalangan murid, kelihatan terharu apabila dipakaikan selempang dan memotong pulut kuning sebagai gimik acara.

Turut menyaksikan majlis yang berlangsung meriah itu Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi, Halid Ali dan Guru Besar SK Seri Negeri yang baharu, Mohd Razali Said.

Ketika ditemui, Abdul Razak berkata, beliau belum mempunyai sebarang perancangan dan memilih untuk berehat selepas berkhidmat dalam kerjaya perguruan sejak 1981.

“Rasanya saya ingin berehat dan tumpukan kepada keluarga terlebih dahulu, memang rasa sedih juga meninggalkan sekolah ini.

“Sepanjang perkhidmatan, saya sudah menjadi guru besar selama 17 tahun di enam sekolah rendah sekitar Langkawi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 3:37 PM