GURU, Ooi Lee Cheng, 60, (kanan) terharu apabila dipakaikan tanjak oleh Guru Besarnya, Abdul Razak Jusoh pada majlis persaraannya di pekarangan Sekolah Kebangsaan Seri Negeri, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
GURU, Ooi Lee Cheng, 60, (kanan) terharu apabila dipakaikan tanjak oleh Guru Besarnya, Abdul Razak Jusoh pada majlis persaraannya di pekarangan Sekolah Kebangsaan Seri Negeri, Langkawi, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Seorang guru lelaki berketurunan Cina terharu apabila diraikan sebagai Pahlawan Melayu sempena hari persaraannya di pekarangan Sekolah Kebangsaan Seri Negeri (SKSN) di sini, hari ini.

Ooi Lee Cheng, 60, yang berkhidmat dalam bidang perguruan selama 38 tahun dan terakhir sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah itu menyifatkan acara bertemakan 'Tradisi Melayu' itu memberi kenangan manis sepanjang hayatnya.

"Walaupun saya memiliki ramai rakan-rakan Melayu, tapi ini adalah kali pertama saya memakai baju Melayu lengkap bersampin, tanjak, selempang dan terselit sebilah keris di pinggang seperti pahlawan Melayu.

"Terima kasih kepada semua rakan setugas dan pelajar yang mengatur acara yang amat mengejutkan ini dan saya tidak pernah mengharapkan diraikan seperti ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Lee Cheng yang tiba di pekarangan sekolah pada jam 10.30 pagi berpakaian baju Melayu warna jingga disambut dengan paluan gendang dan perarakan bunga manggar sebelum dipakaikan tanjak dan selendang oleh Guru Besar, Abdul Razak Jusoh.

Beliau yang juga anak kelahiran Langkawi ketika ditemui berkata, beliau belum mempunyai sebarang perancangan dan memilih untuk berehat selepas berkhidmat dalam kerjaya perguruan sejak 1978.

Pada akhir majlis, Lee Cheng kelihatan sayu apabila diarak dan diberi tepukan gemuruh oleh 1,000 warga sekolah itu ketika melangkah keluar dari pintu pagar sekolah sebelum bertolak ke kediamannya di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2016 @ 2:21 PM