GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


HAJAT lima lelaki untuk mengaut untung besar menerusi penjualan tiga kerbau dicuri mereka, gagal selepas lori yang mengangkut ternakan itu tersangkut dalam lumpur di Bukit Berangan, Kuala Nerus, Kuala Terengganu.

Berikutan itu, kelima-lima lelaki berkenaan termasuk seorang pembeli berusia 28 hingga 61 tahun ditahan jam 8 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, suspek sebelum itu berjaya mencuri tiga ekor ternakan berkenaan dianggarkan bernilai RM15,000 dan mengangkutnya dengan lori satu tan.

Bagaimanapun, katanya, lori dipandu tersangkut dalam lumpur dan sempat dilihat penduduk kampung yang kemudian memaklumkannya kepada pemilik kerbau terbabit.

“Kita menahan empat suspek dan seorang pembeli ketika urus niaga berlangsung, manakala seorang lagi suspek yang juga abang kepada suspek utama berusia 47 tahun ditahan selepas itu di daerah ini.

“Hasil siasatan, suspek mengaku mencuri tiga ekor kerbau itu untuk dijual dan mereka turut didapati pernah mencuri kerbau pemilik sama, sebelum ini,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Idris berkata, selain kerbau dan lori, pihaknya turut merampas pam angin yang dipercayai digunakan untuk menembak haiwan berkenaan.

Katanya, semua suspek termasuk suspek utama berusia 45 tahun kini ditahan reman selama dua hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 5:52 PM