Antara pasangan yang diperiksa dalam Ops Didik semalam. FOTO Ihsan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Antara pasangan yang diperiksa dalam Ops Didik semalam. FOTO Ihsan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI)
Zatul Iffah Zolkiply


HAJAT 34 pasangan bukan muhrim bersiar-siar malam minggu membawa padah apabila ditahan pihak berkuasa dalam operasi di Batu Buruk dan Pulau Warisan, Kuala Terengganu semalam.

Pasangan berusia antara 18 hingga 30 tahun itu ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam Ops Didik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi bermula jam 9 hingga 12 tengah malam.

Pegawai Agama Daerah Kuala Terengganu, Azmi Tengah berkata, mereka ditahan selepas didapati berkelakuan tidak sopan di tempat awam kerana menunggang dan membonceng motosikal dengan pasangan bukan muhrim.

Katanya, mereka akan dipanggil untuk sesi kaunseling di pejabat JHEAT sebelum diberi amaran dan akan ditahan serta dikenakan tindakan jika mengulangi kesalahan sama.

“Jika tidak hadir sesi kaunseling yang ditetapkan, kita akan ambil tindakan susulan dan mendakwa mereka mengikut Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.

“Bagi kesalahan itu, mereka berdepan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Bagaimanapun, jika mereka masih berdegil, kita akan membuat permohonan dengan mahkamah agar mengeluarkan waran tangkap,” katanya.

Azmi berkata, ia adalah operasi pertama dilaksanakan tahun ini dengan kerjasama JPJ dan AADK dan operasi sama akan diadakan secara berterusan bagi membendung gejala tidak sihat terutama membabitkan golongan muda.

“Kami akan meningkatkan penguatkuasaan kepada golongan remaja yang didapati berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

“Ia bukan tertumpu kepada mereka yang menunggang atau membonceng motosikal bersama bukan muhrim tetapi tindakan penguatkuasaan terhadap wanita yang berpakaian menjolok mata dan lelaki berpakaian seperti wanita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 4:24 PM