Norzamira Che Noh

KIRA-KIRA 60 keluarga di Flat Taman Teluk Gadung Indah, Pelabuhan Klang berhadapan risiko apabila mendapan tanah di sekitar bangunan flat berkenaan semakin teruk sejak dua tahun yang lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, bangunan flat berkenaan dibina di atas tanah paya dan memang berisiko untuk berlaku mendapan tanah.

"Saya akan membawa perkara ini ke mesyuarat exco yang akan datang dan kita akan siasat terlebih dahulu sama ada mendapan berpunca daripada kecacatan struktur ketika pembinaanya atau tidak.

"Jika terbukti ianya kecacatan struktur, pemaju perlu bertanggungjawab malah saya juga berharap pihak berwajib tampil membantu kerana bimbang jika perkara ini dibiarkan terlalu lama, semakin banyak yang perlu dibaiki," katanya pada sidang media selepas melawat sekitar Flat Taman Teluk Gadung Indah, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri.

Haniza berkata, walaupun sepatutnya bangunan berkenaan diuruskan oleh badan pengurusan bersama (JMB), apa sahaja yang membabitkan struktur dan keselamatan bangunan adalah tanggungjawab pemaju.

"Siasatan segera akan dilakukan untuk kenal pasti sama ada bangunan ini selamat atau tidak dan jika ia berisiko, penduduk akan diarah keluar," katanya.

Sementara itu, penduduk M Devendran, 29, berkata, ramai penghuni flat berkenaan berpindah keluar kerana bimbang berlaku sebarang insiden apatah lagi mendapan tanah kini makin teruk.

"Bukan sahaja mendapan tanah malahan bumbung bangunan ini juga sudah rosak sehingga hampir semua penghuni tingkat paling atas flat (tingkat lima) berpindah.

"Mereka yang ada duit boleh berpindah ke tempat lain tapi bagi kami yang tidak mampu, ke mana kami perlu pergi? Saya berharap ada pihak yang sudi membantu kami sebelum keadaan menjadi lebih buruk," katanya.

Devendran yang sudah 17 tahun menetap di flat berkenaan berkata, kesan mendapan serta keretakkan bermula sejak 10 tahun lalu tetapi menjadi lebih teruk sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Disember 2018 @ 11:33 PM
HANIZA melihat keadaan mendapan tanah. FOTO Roslin Mat Tahir
HANIZA melihat keadaan mendapan tanah. FOTO Roslin Mat Tahir