PETUGAS memasang alat pengesan struktur bawah tanah di Pangsapuri Taman Keramat Permai.
PETUGAS memasang alat pengesan struktur bawah tanah di Pangsapuri Taman Keramat Permai.
Rizanizam Abdul Hamid


KUALA LUMPUR: “Puasa dah dekat dan jika ikut hati memang nak cepat balik rumah. Tapi biar bangunan itu betul-betul selamat,” luah warga emas Rohana Mohd Noor yang juga penghuni Blok F di Pangsapuri Taman Keramat Permai, Ampang.

Rohana, 66, antara 222 penghuni yang diarahkan berpindah akibat keretakan teruk pada pangsapuri empat tingkat berusia lebih 34 tahun itu sejak Jumaat lalu.

Menurutnya, insiden sebuah blok pangsapuri yang dirobohkan kerana mengalami masalah serupa dihadapi Pangsapuri Taman Keramat Permai lebih 20 tahun lalu masih segar dalam ingatannya.

“Saya masih ingat perasaan takut dan seram melihat Blok C pangsapuri itu diruntuhkan walaupun ketika itu bangunan dikosongkan.

“Jadi elok pihak berkuasa pastikan dulu pangsapuri kami benar-benar selamat walaupun kalau ikut hati nak sambut puasa di rumah,” katanya di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, Keramat di sini, semalam.

Jumaat lalu, 222 penghuni bangunan empat tingkat itu diarah berpindah susulan berlaku keretakan pada dinding kediaman berkenaan selepas hujan lebat.

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebelum ini dilaporkan melantik Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) untuk memasang pengesan dan alat kajian bagi memastikan sama ada mendapan serta pergerakan tanah benar-benar aktif atau sebaliknya.

Kelmarin, Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipetik berkata, semua rumusan hasil siasatan terbabit diteliti sebelum keputusan sama ada bangunan berkenaan selamat atau sebaliknya.

Beliau yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi berkata, 37 keluarga yang mendiami flat terbabit dijangka boleh kembali ke kediaman masing-masing selewatnya-lewatnya sebelum 1 Ramadan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Shabnam Shaheen, 37, berkata, mereka lima sekeluarga akur sekiranya tidak dapat menyambut puasa di rumah walaupun segala persiapan menyambut Ramadan dan Aidilfitri hampir siap.

“Selepas berpindah ke flat berkenaan lima bulan lalu, saya berhabis RM2,800 untuk membaiki keretakan, cat dan dekorasi dalaman untuk menyambut Ramadan dan Syawal.

“Rasa terkilan juga, tapi nyawa keluarga lebih penting jadi biar struktur bangunan benar-benar selamat sebelum kami pulang ke rumah,” katanya.

Pekerja swasta, Ahmad Fadhil Mohamed, 33, berharap pihak berkuasa menyediakan penempatan lebih sesuai sekiranya penduduk perlu berpindah untuk tempoh lama.

“Bagi masa singkat, mungkin kemudahan di dewan ini memadai kerana dilengkapi pendingin hawa selain makanan dan minuman juga disediakan tetapi tidak sesuai didiami terlalu lama.

“Maklumlah, bila ada ramai keluarga banyak batas pergaulan perlu dijaga apatah lagi saiz ruang peribadi dalam khemah yang terhad menyukarkan urusan seharian,” katanya.

Pandangan sama disuarakan Faysal Yusoff, 45, yang berharap kerajaan menyediakan penempatan seperti rumah sementara di kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 7:30 AM