SEBAHAGIAN daripada PATI yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan JIM Selangor
SEBAHAGIAN daripada PATI yang ditahan dalam operasi berkenaan. FOTO Ihsan JIM Selangor
Iskandar Shah Mohamed


BERTEMPIARAN lari dengan hanya berkaki ayam, berkain pelikat dan batik. Itu gelagat sebahagian pendatang asing tanpa izin (PATI) yang panik dan cuba meloloskan diri daripada dicekup Jabatan Imigresen di dua rumah kongsi tapak pembinaan di sekitar Shah Alam, hari ini.

Difahamkan, dalam operasi bermula jam 12 tengah malam itu, rata-rata mereka sedang nyenyak tidur di rumah kongsi berkenaan.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak melarikan diri tanpa memikirkan faktor keselamatan di kawasan berkenaan yang dipenuhi bahan berbahaya.

Cubaan berani mereka bagaimanapun gagal apabila dikepung dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Pengarah Imigresen Selangor Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi bersepadu selama tiga jam itu dijalankan sepasukan 72 pegawai dan anggota penguat kuasanya.

“Kita menjalankan pemeriksaan ke atas seramai 265 warga asing di kedua-dua rumah kongsi berkenaan dan 142 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

“Ia membabitkan penahanan 92 orang di lokasi pertama, manakala 50 lagi berada di kawasan berdekatan.

“Mereka yang terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar itu turut merangkumi kanak-kanak berusia setahun hingga 52 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat penguat kuasa Jabatan Imigresen negeri untuk tindakan lanjut.

“Mereka kemudian akan ditahan di Depoh Imigresen Semenyih,” katanya.

Kata Mohamad Shukri, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c)Akta Imigresen 1959/63.

“Ia membabitkan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau permit sah dan menggunakan pas tamat tempoh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2019 @ 7:19 PM