NASIB yang menimpa Zakaria Othman, 43, yang terlantar akibat kanser otak tahap empat  mendapat perhatian daripada Persatuan Sukarelawan Kanser (SCM) Kedah yang membantu menyumbangkan lampin pakai buang dan susu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
NASIB yang menimpa Zakaria Othman, 43, yang terlantar akibat kanser otak tahap empat mendapat perhatian daripada Persatuan Sukarelawan Kanser (SCM) Kedah yang membantu menyumbangkan lampin pakai buang dan susu. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


BEKAS tukang masak hotel di Kuala Lumpur terlantar akibat kanser otak tahap empat sekali gus merubah hidup keluarganya apabila pendapatannya terjejas.

Menurut isteri mangsa, Rosni Ismail, 38, mereka yang turut memiliki kedai kek di Kuala Lumpur sebelum ini terpaksa menutup perniagaan itu selepas suaminya Zakaria Othman, 43, disahkan mengidap penyakit itu Disember tahun lalu.

Katanya, penyakit suaminya dikesan selepas dia kerap mengalami sawan selain matanya turut kabur.

“Kami terpaksa kembali ke rumah mentua bagi memastikan suami dapat dijaga dengan lebih rapi. Saya pula menyara keluarga dengan mengambil tempahan membuat kek, biskut dan roti selain menghantar ke kantin sekolah.

“Pendapatan saya kini kira-kira RM500 sebulan, wang itu sekadar cukup untuk membeli barang keperluan dapur dan menyara persekolahan tiga anak saya,” katanya yang kini tinggal di Kampung Alor Setoi, Langgar di Alor Setar.

Ibu kepada empat orang anak ini berkata, keadaan kesihatan suaminya kini semakin merosot dan kurang selera makan, malah dia sudah tidak mampu bercakap sejak seminggu lalu.

Katanya, kesan penyakit itu menyebabkan terdapat benjolan di bahagian kanan kepala suaminya.

“Suami saya sudah tidak mampu mengurus diri, malah hendak berjalan pun sudah tidak mampu, sayalah yang menyuap makanan dan mandikan dia setiap hari.

“Kami hidup sekarang atas ihsan dan sumbangan saudara mara, banyak barang seperti lampin pakai buang serta susu khas perlu disediakan serta perlu kerap membawanya ke hospital, walaupun harapan untuk suami saya sembuh tipis, saya perlu kuatkan semangat menjalani kehidupan demi anak-anak,” katanya yang juga bekas tukang masak.

Bagi mereka yang ingin membantu Rosni, dia boleh dihubungi di nombor 019-3415326 atau menerusi nombor akaun Maybank 114085862216.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 10:51 AM