AIR Pancut Darul Hana di Tebingan Kuching. FOTO Arkib MALEK JOSEPH
AIR Pancut Darul Hana di Tebingan Kuching. FOTO Arkib MALEK JOSEPH
Goh Pei Pei


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu telus dalam menyiasat kos pembinaan Air Pancut Darul Hana yang didakwa mencecah kos RM31 juta.

Dibina di tebing Sungai Sarawak di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Petra Jaya, kemudahan air pancut berirama itu disifatkan termahal di Malaysia dan dirasmikan sempena sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending Violet Yong berkata, beliau menyifatkan tidak masuk akal membelanjakan wang pembayar cukai hanya untuk membina air pancut itu, yang hanya mempunyai tiga komponen asas iaitu air, muzik dan lampu.

“Ini hanyalah air pancut biasa yang sebahagian besarnya dari China. Selain itu, ia tidak memaparkan apa-apa kesan istimewa lain, tidak seperti yang di Dubai yang disertai dengan pertunjukan api dan cahaya.

“Oleh itu, tidakkah kita terfikir projek itu terlalu mahal, dengan peruntukan itu boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain yang memberi lebih banyak faedah kepada rakyat,” katanya mempertikaikan kos projek berkenaan ketika membahaskan Bajet Sarawak 2019 pada Persidangan DUN Sarawak, hari ini.

Violet berkata, beliau difahamkan tiada tender terbuka dibuat untuk pelaksanaan projek berkenaan yang diletakkan di bawah tadbir urus Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Malah, ketika projek itu dibina, tiada langsung papan tanda projek didirikan di tapak projek,” katanya.

Katanya, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) enggan mendedahkan identiti kontraktor membina air pancut itu.

Malah, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg sentiasa mengelak untuk menjawab isu berkenaan apabila didedahkan media terutama kos pembinaannya yang tidak masuk akal.

“Jadi, saya ingin menggesa SPRM untuk menyiasat projek ini dengan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 4:40 PM