Nurul Hidayah Bahaudin

SEBUAH kereta dihanyutkan arus deras selepas terjunam ke dalam longkang di Persiaran Mohagani berhadapan bank di Dataran Sunway, Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Deputi Superintendan Sahimi Husin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 6.51 petang.

“Berdasarkan maklumat awal diperolehi, kereta itu dipercayai terbabas sendiri ketika melalui kawasan berkenaan sebelum terjunam ke dalam longkang.

“Ketika menunggu trak tunda, hujan lebat menyebabkan arus air longkang berkenaan deras dan menghanyutkan kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di Petaling Jaya, hari ini.

Sahimi berkata, pemandu kereta itu dipercayai pelajar warga asing.

“Bagaimanapun, identiti sebenar pemandu kereta itu ketika kejadian tidak dapat diperolehi.

“Semakan mendapati kereta itu didaftarkan atas nama, Khodijah Mohd Ismail, 56, yang beralamat di Tapah, Perak.

“Difahamkan pemandu kereta itu selamat. Tiada sebarang laporan mengenai kejadian itu diterima,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 9:58 PM
KERETA yang dihanyutkan arus deras selepas terjunam ke dalam longkang. FOTO ihsan pembaca
KERETA yang dihanyutkan arus deras selepas terjunam ke dalam longkang. FOTO ihsan pembaca