KERETA milik mangsa ditemui satu kilometer daripada lokasi kejadian dilaporkan berlaku. FOTO ihsan bomba
KERETA milik mangsa ditemui satu kilometer daripada lokasi kejadian dilaporkan berlaku. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim


WANITA dikhuatiri lemas apabila kereta dinaiki dihanyutkan arus deras selepas terjunam ke dalam longkang di Jalan Utama Prima Damansara, malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian 10.19 malam.

Menurutnya, dua pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Damansara serta Sungai Buloh dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat awal, sebuah kereta terbabas dan terjunam ke dalam longkang besar. Ketika kejadian, hujan lebat dan arus deras.

"Anggota (bomba) berjaya mengesan kereta pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian. Namun mangsa tidak ditemui dalam kereta berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kereta itu dipercayai dipandu wanita tempatan berusia 45 tahun dan usaha mengesan mangsa sedang giat dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 April 2020 @ 10:31 AM