ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
ANWAR Ibrahim. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 18 November hadapan bagi mendengar rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman pemula beliau berhubung sabitan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguamnya J Leela, ketika dihubungi berkata, perkara itu disebut ketika pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nik Serene Nik Hashim hari ini.

Pada 8 November 2017, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kerajaan untuk membatalkan saman Anwar selepas memutuskan bahawa kes itu tidak berasas dan tanpa sebarang bukti sokongan.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Azizah Nawawi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan bahawa asas saman pemula Anwar yang mendakwa bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat pembayaran kepada pihak pendakwaan tidak disokong oleh sebarang bukti.

Kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Anwar atas alasan ia adalah remeh, tidak mempunyai kausa tindakan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Anwar, yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, memfailkan saman pemula itu pada 9 Jun 2017 dan menamakan kerajaan sebagai defendan.

Beliau mendakwa tidak mendapat satu perbicaraan yang adil dalam rayuan terhadap sabitannya bagi liwat.

Katanya hak beliau seperti yang dijamin di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan satu perbicaraan adil dicabul dan keputusan Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan tidak boleh dipertahankan, tidak sah dan batal.

Anwar kemudian memohon satu deklarasi bahawa sabitannya oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac 2014 adalah ultra vires atau melangkaui kekuasaan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon satu perintah bahawa tindakan Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan adalah ultra vires, oleh itu, tidak sah dan batal.

Sabitan dan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar bagi kesalahan meliwat Mohd Saiful dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun, Anwar diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018.

Menerusi afidavitnya, Anwar mendakwa bahawa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada Najib untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam prosiding rayuannya berhubung sabitan kes liwat.

Sementara itu, Leela berkata Mahkamah Persekutuan menjadualkan semula tarikh pendengaran kepada 22 Julai bagi permohonan Muhammad Shafee untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang enggan memadam satu afidavit oleh seorang pegawai tugas-tugas khas bekas peguam negara.

Beliau berkata tarikh asal pendengaran ditetapkan pada 20 Mei.

Pada 29 November 2018, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Muhammad Shafee untuk memadam afidavit Siti Rahayu Mohd Mumazani dan menyoal balas saksi itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan Muhammad Shafee mencelah rayuan Anwar berhubung tindakan sivil terhadap kerajaan susulan sabitannya dalam kes liwat.

Menerusi afidavitnya, Siti Rahayu mendakwa maklumat baharu sudah diperoleh iaitu sebanyak RM9.5 juta dibayar kepada Muhammad Shafee daripada akaun bank Najib antara 2013 dan 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 5:01 PM