ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran kedai runcit di Lido. FOTO Edmund Samunting
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan kebakaran kedai runcit di Lido. FOTO Edmund Samunting

Junaidi Ladjana

[email protected]

ANGGOTA bomba cedera dipercayai terkena renjatan elektrik ketika operasi memadamkan kebakaran kedai runcit di Lido, Kota Kinabalu, malam tadi.

Dalam kejadian 12.40 malam itu, anggota terbabit segera diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Bantuan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1) di sini untuk rawatan dan dilaporkan stabil.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 12.44 tengah malam sebelum menghantar 21 anggota bersama dua jentera, satu lori tangki dan EMRS ke lokasi kebakaran.

“Api dapat dikawal 19 minit kemudian dan kebakaran membabitkan satu lot kedai menjual barangan runcit. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Saksi kejadian, Albert Chong, 42, berkata ketika kejadian dia berada di rumahnya di Taman Che Mei di sini, kira-kira 400 meter dari lokasi kebakaran.

“Asap tebal menyelubungi kawasan bangunan yang menempatkan beberapa premis perniagaan.

“Ketika itu, saya tidak pasti premis yang mana terbakar kerana deretan bangunan dipenuhi asap tebal,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Oktober 2018 @ 11:56 AM