RUMAH didiami Martina musnah dalam kebakaran di Kampung Kobusak, Penampang. FOTO IHsan Bomba
RUMAH didiami Martina musnah dalam kebakaran di Kampung Kobusak, Penampang. FOTO IHsan Bomba
Junaidi Ladjana


WANITA melecur di tangan dan kaki selepas rumah didiaminya di Kampung Kobusak, di Penampang, musnah terbakar malam tadi.

Dalam kejadian 11.40 malam itu, mangsa Martina Mojunggal, 44, dikatakan selamat keluar bersama tiga anaknya sebaik menyedari rumahnya terbakar.

Dia kemudian masuk semula ke rumah untuk menyelamatkan barang miliknya sebelum terkena bahang api.

Mangsa dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) Kota Kinabalu menggunakan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, seramai 25 anggota termasuk pegawai dengan empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan 11.49 malam.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, rumah itu sudah terbakar dan operasi terus dijalankan untuk mengawal kebakaran.

“Api dapat dikawal jam 12.27 tengah malam sebelum dipadamkan sepenuhnya jam 1.04 pagi,” katanya hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang wanita melecur di tangan dan kaki diberi rawatan awal oleh pasukan EMRS sebelum di bawa ke HQE I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu BBP Kota Kinabalu dan Lintas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 8:42 AM