KEADAAN treler yang terbabit dalam kemalangan berkenaan. FOTO Lano Lan
KEADAAN treler yang terbabit dalam kemalangan berkenaan. FOTO Lano Lan

Junaidi Ladjana

[email protected]

PERASAAN tidak sedap hati selepas cubaan menghubungi telefon bimbit ibu tidak berjawab, akhirnya membawa kepada berita kematian kedua orang tua serta adik perempuan yang rentung selepas kereta dinaiki terbakar susulan nahas di Kampung Hubot, Kilometer 39 Jalan Kudat-Kota Kinabalu di Kudat, malam semalam.

Charry Sagandal, 27, anak pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan itu berkata, kali pertama ibunya tidak menjawab panggilan, manakala kali kedua telefon bimbit dimatikan.

“Malam tadi saya hubungi ibu, namun tidak dijawab dan selepas itu telefon bimbit tak dapat dihubungi.

“Tidak lama kemudian saya dimaklumkan ibu, bapa serta adik perempuan terbabit nahas ketika perjalanan pulang selepas majlis perkahwinan sepupu di Matunggong.

“Hari ini sepatutnya emak datang ke rumah di Kota Kinabalu kerana rindu dengan cucunya, namun alangkah sedihnya bila dapat tahu mengenai pemergiannya.

“Lebih menyedihkan apabila ayah serta adik bongsu turut pergi buat selama-lamanya,” katanya ketika ditemui di rumah ibu bapanya di Kampung Tambuluran di Kudat, hari ini,

Dalam kejadian jam 8.20 malam itu, Sagandal Soborong, 59, isterinya, Talina Gunsidat, 59, dan anak perempuan mereka, Racy, 19, rentung selepas kereta dinaiki terbakar sebaik bertembung dengan sebuah treler.

Charry yang juga anak kelapan dari 11 beradik berkata, kali terakhir dia menemui ibu dan ayahnya pada minggu lalu ketika mereka datang ke rumahnya di Kota Kinabalu.

“Setiap minggu, kalau bukan ibu yang datang ke rumah di Kota Kinabalu, saya dan suami serta anak (Tickers Delman, 2) akan pulang ke kampung untuk menemui ibu dan ayah.

“Kelmarin, ibu ada beritahu dia akan datang ke Kota Kinabalu kerana amat rindu dengan cucunya,” katanya.

Suami Charry, Delman Budin, 34, berkata, sehingga kini dia masih ingat pesanan ibu mentuanya supaya menjaga Charry dan anak dengan baik.

“Minggu lalu, ketika ibu berada di rumah di Kota Kinabalu dan hendak pulang ke kampung di Tambuluran, ibu meninggalkan pesan supaya jaga Charry dan Tickers dengan baik.

“Pesanan itu saya anggap tiada apa yang berlaku tetapi saya sangat sedih kerana itulah pesanan terakhirnya sebelum ibu meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sabah, Superintendan Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata siasatan awal mendapati Proton Saga dinaiki tiga beranak itu dipercayai memasuki laluan treler lalu sebelum bertembung.

“Akibat kejadian itu, tiga mangsa yang menaiki Proton Saga rentung apabila kereta berkenaan terbakar selepas berlaku pertembungan dengan treler.

“Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Kudat untuk bedah siasat, manakala pemandu treler hanya cedera ringan,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Tiga beranak rentung

[UPDATE] Sangka gempa bumi bila rumah bergegar...

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 4:31 PM