KEADAAN treler merempuh restoran di Gemas. FOTO ihsan pembaca
KEADAAN treler merempuh restoran di Gemas. FOTO ihsan pembaca
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


UJIAN air kencing ke atas pemandu treler yang merempuh restoran di Dataran Satria, Gemas, hari ini mendapati lelaki itu positif syabu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya akan mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Tampin esok bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, pemandu berusia 25 tahun dan berasal dari Rawang, Selangor kini dalam tahanan pihaknya.

"Ujian saringan air kencing ke atas pemandu treler yang dibuat petang tadi mendapati dia positif syabu," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Menurut Ramli, lelaki itu akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah dalam badan.

Portal berita akhbar ini, hari ini melaporkan restoran di Dataran Satria mengalami kerosakan akibat dirempuh lori kontena seberat 40 tan.

Dalam kejadian 7.30 pagi itu, pemandu lori terbabit mengelak daripada merempuh kenderaan di hadapan lalu terbabas ke kiri simpang dan melanggar bahagian hadapan restoran itu.

Ketika kejadian, lori membawa muatan tanah liat dikatakan dalam perjalanan ke Kluang, Johor dari Gua Musang, Kelantan.

Kejadian itu menyebabkan pelanggan dan pekerja restoran terpaksa melarikan diri, namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Berita berkaitan:

Restoran dirempuh treler

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Oktober 2018 @ 7:23 PM