GIT sedih ketika menziarahi pusara menantunya, Othman (gambar kanan) yang meninggal pada 7 Februari tahun lalu. FOTO Ihsan Nur Adleen Najiha Othman
GIT sedih ketika menziarahi pusara menantunya, Othman (gambar kanan) yang meninggal pada 7 Februari tahun lalu. FOTO Ihsan Nur Adleen Najiha Othman
Redzuan Muharam

Gombak: Meskipun berlainan agama, Git Sigeh tetap memberi penghormatan dan membuktikan kasih sayang dengan menziarahi pusara menantunya, Othman Saidon yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 7 Februari tahun lalu.

Kisah Git mendapat perhatian selepas tular video di TikTok menunjukkan wanita itu menangis ketika menziarahi pusara Othman di Tanah Perkuburan Islam Bukit Lagong di sini.

Berkongsi kisah itu, cucu Git yang juga anak kepada Othman, Nur Adleen Najiha, 24, berkata neneknya tidak dapat hadir ke pengebumian bapanya, tahun lalu kerana menetap jauh di Kapit, Sarawak.

Menurutnya, berikutan itu neneknya terlalu sedih kerana akhirnya dapat menziarahi pusara menantu selepas setahun menanti detik berkenaan.

"Nenek rapat dengan ayah dan sedih sangat selepas ayah berpisah dengan emak. Cuma nenek tinggal di Sarawak, jadi tak dapat jumpa selalu dengan ayah.

"Nenek juga tak dapat melihat jenazah ayah buat kali terakhir dan hanya tahu mengenai pemergian ayah selepas dihubungi adik bongsu.

"Baru-baru ini, nenek datang ke Kuala Lumpur, jadi saya bersama dua kakak dan emak bawa dia menziarahi pusara ayah,," katanya ketika dihubungi, di sini.

GAMBAR kenangan Saidon Othman bersama anaknya. FOTO Ihsan Nur Adleen Najiha Othman
GAMBAR kenangan Saidon Othman bersama anaknya. FOTO Ihsan Nur Adleen Najiha Othman

Menurut Nur Adleen Najiha, kesempatan menziarahi pusara digunakan untuk membacakan doa dan Yasin untuk disedekahkan kepada Allahyaham bapanya.

"Waktu baca doa, saya nampak air mata nenek mula bergenang sebelum dia menangis di tepi pusara. Nampak sangat nenek terlalu sedih kerana menantu kesayangannya sudah tiada.

"Saya pun sedih melihatnya dan berkongsi video detik itu di TikTok sebenarnya untuk kenangan.

"Ramai doakan tapi ada juga segelintir netizen mempersoalkan nenek meratap, hakikatnya nenek bukan Muslim, jadi dia tak tahu mengenainya," katanya.

Nur Adleen Najiha berharap mereka yang menonton video itu dapat melihatnya daripada sudut positif mengenai kasih sayang ibu mentua terhadap menantunya yang sudah pergi.

"Bukan hanya nenek, malah saya sebagai anak sangat terkesan dengan pemergian ayah kerana meninggalkan kami sebelum sempat menyambut Ramadan bersama.

"Ini tahun kedua saya akan menyambut Ramadan dan beraya tanpa ayah dan sedih sangat apabila mengenangkannya.

"Jadi untuk yang masih ada ibu bapa, hargailah sebelum mereka menutup mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2024 @ 7:30 AM