TEO Nie Ching (dua kanan) mencuba kepantasan peranti satelit Starlink yang dipasang di Kampung Orang Asli Sungai Temon. FOTO Omar Ahmad
TEO Nie Ching (dua kanan) mencuba kepantasan peranti satelit Starlink yang dipasang di Kampung Orang Asli Sungai Temon. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad

Johor Bahru: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memperluaskan pemasangan peranti satelit Starlink di kawasan yang mempunyai capaian Internet lemah di seluruh negara.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata, SKMM menempah 30 peranti berspesifikasi tinggi dengan 10 daripadanya telah diperolehi.

Katanya, empat dipasang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah; Kampung Orang Asli (KOA) Kemensah, Gombak; KOA Tonggang, Tambun, Perak; dan KOA Sungai Temon, Johor Bahru.

"Selepas ini kami akan pasang di Sabah dan Sarawak.

"Kami akan bincang dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah untuk mengenalpasti lokasi yang sesuai dan memerlukan untuk kita pasang peranti ini. Semua ini ini belum dimuktamadkan lagi.

"Hasrat kita agar peranti Starlink dipasang di lokasi yang masih tiada akses atau capaian Internet lemah sebagai satu penyelesaian sementara," katanya pada sidang media selepas melawat tapak pemasangan peranti satelit Starlink di Kampung Orang Asli Sungai Temon di sini, hari ini.

Nie Ching berkata, bagaimanapun negara perlu menguatkan isyarat capaian Internet bagi jangka masa panjang.

Katanya, kawasan Kampung Orang Asli Sungai Temon berdepan pencemaran frekuensi kerana berdekatan dengan negara jiran, Singapura.

"Apabila berada di kawasan ini, talian telefon akan berhubung dengan rangkaian Singapura kerana capaian mereka lebih kuat.

"Dengan kemudahan ini, ia menambah baik akses capaian Internet kepada penduduk khususnya dalam sektor pembelajaran anak-anak Orang Asli untuk pendidikan.

"Pembayaran bulanan akan ditanggung oleh SKMM, peranti ini adalah formula yang sesuai kerana ianya mudah dan cepat dipasang," katanya.

Kos bagi satu unit peranti Starlink berspesifikasi tinggi bernilai RM11,613 berperanan sebagai EIFI Hotspot dengan jarak liputan kira-kira 100 meter bergantung kepada tempat pemasangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2023 @ 2:46 PM