PROF Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, gambar fail. FOTO AFP
PROF Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, gambar fail. FOTO AFP
BERNAMA

Putrajaya: Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb akan melakukan lawatan khas selama tiga hari ke Malaysia dari 2 Julai hingga 5 Julai, atas undangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, Sheikh Al-Azhar akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di Seri Perdana dan kedua-dua mereka dijangka membincangkan usaha meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Mesir, terutamanya dalam bidang hal ehwal Islam dan pendidikan.

Ia berkata, Sheikh Al-Azhar juga dijadualkan hadir dan memberi ucapan di 'Majlis Ilmu Madani: Siri Penceramah Unggul' di Seri Perdana.

Wisma Putra berkata, sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan beliau kepada pemikiran dan pembangunan Islam, Sheikh Al-Azhar akan dianugerahkan ijazah doktor kehormat oleh Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dalam satu upacara khas di Kuala Lumpur.

"Lawatan khas oleh Sheikh Al-Azhar, berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan satu detik bersejarah di dalam hubungan dua hala di antara Malaysia dan republik itu," katanya.

Ia juga membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat di antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif dan dinamik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2024 @ 11:29 PM