LELAKI meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan terbabas selepas jaket dipakainya tersangkut pada spoket motosikal di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE). FOTO Ihsan Pembaca
LELAKI meninggal dunia di tempat kejadian apabila motosikal yang ditungganginya hilang kawalan dan terbabas selepas jaket dipakainya tersangkut pada spoket motosikal di Lebuh Raya Butterworth-Kulim (BKE). FOTO Ihsan Pembaca
Shamsul Munir Safini


LELAKI berusia 35 tahun maut selepas jaket dipakainya tersangkut pada rantai dan gegancu (sprocket) motosikal dinaiki sebelum terbabas dalam kemalangan di Kilometer (km) 14.8 Lebuh Raya Butterworth-Kulim, dekat Bukit Mertajam, semalam.

Dalam kejadian 2.55 petang itu, mangsa Teh Chin Tatt yang membonceng bersama bapanya, Teh Bah KeChee, 69, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, mangsa dalam perjalanan ke Butterworth dan sebaik tiba di lokasi kejadian, jaket putih dipakai mangsa tersangkut pada bahagian rantai dan gegancu (sprocket) motosikal jenis Honda EX5 itu.

"Ekoran itu, motosikal dinaiki mangsa bersama bapanya terbabas di laluan utama lebuh raya berkenaan.

"Mangsa parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, dua beranak berkenaan beralamat di Taman Bagan Jermal, Butterworth.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 2:30 PM