Saya menunggang Honda EX5 110. Saya ingin tahu, gegancu (sprocket) yang mana paling sesuai untuk mencapai kelajuan maksimum bagi motosikal ini?

MUHD ASYRAF

Klang, Selangor

Persoalan pilihan atau penetapan gegancu itu adalah subjektif. Ia sebenarnya bergantung pada kuasa enjin dan berat motosikal serta penunggangnya, selain jalan dilalui.

Jika motosikal tanpa modifikasi dan menunggang untuk berulang-alik ke pejabat, mungkin kombinasi saiz gegancu 14-36 adalah pilihan berbanding yang asal 14-34.

Angka terdahulu itu merujuk kepada jumlah gigi gegancu depan dan kedua adalah gigi gegancu belakang.

Jika motosikal ‘mengaum’ ketika gear tinggi, anda perlu mengurangkan jumlah gigi gegancu belakang.

Jika rasa kurang pecutan, anda perlu menambah lagi mata gigi gegancu belakang seperti dari­pada 14-36 kepada 14-38.

Anda juga perlu mengeluarkan belanja lebih untuk melakukan beberapa percubaan itu bagi mendapatkan kombinasi bersesuaian dengan corak tunggangan dan jalan digunakan.

Pemilihan rantai juga harus diberi perhatian. Jika utamakan kelajuan, ramai akan memilih rantai jenis 415 yang lebih kecil dan ringan. Namun, adalah lebih selamat untuk menggunakan rantai jenis 428 yang lebih lebar dan tahan lasak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:00 AM