PENGUNJUNG dan bikers memenuhi kawasan MAEPS, Serdang pada hari terakhir MBW2018, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
PENGUNJUNG dan bikers memenuhi kawasan MAEPS, Serdang pada hari terakhir MBW2018, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Lizam Ridzuan


HARI terakhir Minggu Permotoran Malaysia (MBW 2018) anjuran Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) terus dikunjungi ribuan ‘bikers’, hari ini.

Keadaan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang seakan dilanda ‘tsunami’ dengan ribuan pengunjung membanjiri lokasi sebaik dibuka pada 9 pagi tadi.

Presiden GPMOTO Datuk Sri Ab Rauf Yusoh berkata, kehadiran begitu ramai pengunjung sebelum dan selepas pelancaran semalam nyata begitu menakjubkan dan objektif untuk mengumpulkan 100,000 ‘bikers’ dilihat berjaya.

“Mereka datang dari seluruh negara untuk sama-sama berkumpul tanpa mengira jenis dan kapasiti enjin motosikal kerana sebagai ‘bikers’ mereka adalah sama tiada beza martabatnya,” katanya ditemui di MAEPS, Serdang, sebentar tadi.

Semalam, lebih 70,000 pengunjung hadir pada hari kedua program yang disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dengan diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Selain pameran dan jualan motosikal terkini, paling menarik perhatian ialah koleksi peribadi Sultan Johor seperti motosikal Harley-Davidson, trak Mack dan pacuan empat roda yang digunakan dalam Kembara Mahkota Johor yang turut dipamerkan.

Pelbagai hadiah menarik menanti pengunjung bertuah iaitu 20 motosikal Yamaha Y15ZR dan Benelli RFS 150i untuk dimenangi, hari ini.

Pengunjung hanya perlu membeli baju-T MBW 2018 berharga RM30 sehelai dan akan diberi satu kupon untuk melayakkan memenangi cabutan bertuah yang ditawarkan.

Tiada bayaran masuk dikenakan untuk MBW 2018 yang akan berakhir pada 6 petang ini.

Antara aktiviti bakal dilangsungkan ialah sesi ramah mesra daripada selebriti TV3, pengaktifan Radio Zoomers, persembahan aksi ‘stunt’ motosikal oleh Benelli dan banyak lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 2:27 PM