CHE Eshah memberi Muhammad Hazwan minum susu melalui saluran tiub yang dipasang di hidung ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Durian Tunggal, Banggu.
CHE Eshah memberi Muhammad Hazwan minum susu melalui saluran tiub yang dipasang di hidung ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Durian Tunggal, Banggu.
Hazira Ahmad Zaidi

“SETIAP bulan mak cik perlu membeli susu tepung berharga RM85 setin,” kata ibu tunggal Che Eshah Che Muhamad, 63, yang menjaga anak bongsunya, Muhammad Hazwan Abdullah, 27, yang terlantar sejak 10 tahun lalu selepas menghidap penyakit asma kronik.

Katanya, anaknya menghidap penyakit itu sejak kecil, namun semakin kronik ketika berusia 17 tahun, sehingga menyebabkannya hilang upaya disebabkan kegagalan oksigen sampai ke otak.

“Disebabkan keadaan itu, anak mak cik tidak sempat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) selama sebulan. Dalam tempoh itu, selama seminggu anak dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana tidak sedarkan diri.

“Selepas sedar, keadaan badan Hazwan bertambah buruk apabila kaki dan tangannya menjadi keras, membengkok dan penglihatannya juga menjadi kabur.

“Lebih menyedihkan, bahagian lehernya terpaksa ditebuk dan diletakkan tiub untuk menyedut kahaknya bagi mengelakkannya sesak nafas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Durian Tunggal, Banggu, di Kota Bharu, baru-baru ini.

Menurutnya, penyakit itu mengakibatkan anaknya hilang upaya dan hanya bergantung sepenuhnya kepada susu yang diberikan melalui tiub enam kali sehari.

“Setiap bulan 11 tin susu diperlukan. Biarpun mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM350, namun ianya tidak mencukupi untuk menampung kos membeli susu setiap bulan, tidak termasuk lagi keperluan lain seperti lampin pakai buang.

“Dua lagi anak sentiasa membantu menyediakan keperluan adik mereka, namun mereka juga mempunyai komitmen, selagi boleh, mak cik tidak mahu menyusahkan mereka,” katanya.

Katanya, selepas arwah suaminya meninggal dunia empat tahun lalu disebabkan penyakit kencing manis, dia kini terpaksa menguruskan anaknya itu bersendirian.

“Ketika arwah suami masih ada, dia yang selalu mengangkat dan memandikan Muhammad Hazwan, tetapi kini dengan kudrat yang sudah berkurangan, mak cik hanya mengelap badannya dengan menggunakan kain basah sahaja,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) di nombor 03109-29-00018738-3 atas nama Che Eshah Che Muhamad.

Keterangan gambar

CHE Eshah memberi Muhammad Hazwan minum susu melalui saluran tiub yang dipasang di hidung ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Durian Tunggal, Banggu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 3:12 PM