SITI Eshah  menjaga Mohd Faizul yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah di Kampung Batu 4, Jalan Kuala Krai.
SITI Eshah menjaga Mohd Faizul yang lumpuh dari paras pinggang ke bawah di Kampung Batu 4, Jalan Kuala Krai.
Hazira Ahmad Zaidi


BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itu perumpamaan bagi menggambarkan keadaan seorang lelaki yang terlantar selama 14 tahun akibat kemalangan jalan raya.

Ibu tunggal, Siti Eshah Mahamood, 60, berkata, lebih menyedihkan kedua-dua kaki anak sulung daripada tiga beradik itu, Mohd Faizul Rahimi, 32, kini kehitaman dan berkuping.

“Selepas kemalangan, anak lumpuh dari paras pinggang ke bawah kerana tidak bergerak dalam tempoh lama, selain darah tidak berjalan lancar dan tidak mendapatkan rawatan di hospital.

“Mak cik akan mencuci luka di kaki Mohd Faizul sekali sehari kerana tidak mampu membawanya ke hospital atau klinik berhampiran sejak lima tahun lalu kerana masalah pengangkutan dan kekangan kewangan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 4, Jalan Kuala Krai.

Menceritakan semula insiden itu, Siti Eshah berkata, anaknya terbabit kemalangan di Kuching, Sarawak pada 2006 selepas kereta dipandu rakan Mohd Faizul terbabas lalu melanggar pokok ketika dalam perjalanan pulang ke asrama ketika menuntut di tahun akhir di Institut Latihan Perindustrian (ILP).

“Disebabkan kemalangan itu, anak mak cik parah dan terpaksa dimasukkan besi di bahagian belakang kerana tulang belakang serta saraf tengkuknya hancur.

“Selama sebulan anak mak cik dirawat di Hospital Umum Sarawak sebelum di bawa pulang dan dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan menerima rawatan selama tiga bulan sebelum dibenarkan pulang.

“Bagaimanapun dua tahun selepas itu, Mohd Faizul sekali lagi dimasukkan ke HRPZ II selama setahun kerana mengalami jangkitan kuman pada bahagian pinggul dan dalam tempoh itu juga doktor memasang beg stoma (beg najis) dan saluran kencing,” katanya.

Siti Eshah berkata, selepas arwah suaminya (Rahimi Ismail) meninggal dunia sembilan tahun lalu kerana serangan jantung, dia kini dibantu anak bongsu, Mohd Fikri, 24, yang bekerja sebagai mekanik.

“Ketika arwah suami masih ada, dia yang selalu mengangkat dan memandikan Mohd Faizul, tetapi kini dengan kudrat yang sudah berkurangan, mak cik hanya mengharapkan anak bongsu untuk sama-sama menguruskan Mohd Faizul.

“Buat masa ini, mak cik amat memerlukan ruang bilik yang selesa dilengkapi tandas untuk memudahkan urusan memandikannya memandangkan bilik sedia ada sudah di makan anai-anai,” katanya.

Menurutnya, kos diperlukan untuk anaknya sebanyak RM500 sebulan dan dia bersyukur kerana Mohd Faizul memperoleh bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan selain sumbangan saudara dan rakan.

“Anak lain ada juga menghulurkan sumbangan, namun sekadar cukup-cukup sahaja kerana mereka juga bukan dalam kalangan orang senang dan mempunyai tanggungjawab lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Oktober 2019 @ 6:10 AM