ABDUL Latib
ABDUL Latib
Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: Wang pencen diterima setiap bulan hanya berbaki RM19 selepas dipotong untuk membayar pinjaman peribadi yang dibuatnya bagi menampung perbelanjaan pendidikan anak melanjutkan pengajian menyebabkan bekas kakitangan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dihimpit masalah kewangan.

Abdul Latib Othman, 54, yang bertugas di Bahagian Perancangan dan Pembangunan PAIP sebelum ini diberhentikan kerja sejak April 2016 kerana masalah darah tinggi.

Menurutnya, dia menerima pencen RM1,519 setiap bulan tetapi RM1,500 daripadanya dipotong untuk membayar pinjaman peribadi yang dibuatnya.

“Ia menyebabkan saya tidak dapat membayar sewa rumah yang jumlah tunggakannya RM7,600 dan bil elektrik RM700. Saya buntu mencari wang bagi membayarnya.

“Saya tiada pekerjaan lain selepas diberhentikan dan tidak berdaya melakukan kerja berat, sekadar membantu kawan dengan kerja ringan yang kadar upahnya tidak menentu.

“Saya mohon sumbangan orang ramai membantu membayar sewa rumah dan bil elektrik yang tertunggak sejak Februari tahun lalu,” katanya ketika ditemui di kediaman di Taman Perdana di sini.

Menurutnya, isterinya, Zarina Hassan, 53, baru selesai menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di payudara manakala anak bongsunya, Nurul Faiqah Hani, 14, menghidap penyakit berkaitan buah pinggang yang memerlukannya menjalani rawatan susulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Nurul Faiqah menerima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala ubat-ubatan untuk kami bertiga dibekalkan hospital.

“Dua lagi anak saya iaitu Nurul Farah Hanis, 27, mengikuti kursus di Kolej Kejururawatan Melaka dan Mohd Farhan, 25, mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM),” katanya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Abdul Latib di talian 013-9490106 atau menerusi akaun CIMB Bank (7034987504) atas nama Abdul Latib Othman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 4:00 AM