NELAYAN warga asing yang ditahan kerana mengaut hasil di perairan Malaysia, semalam. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
NELAYAN warga asing yang ditahan kerana mengaut hasil di perairan Malaysia, semalam. FOTO Ihsan Maritim Malaysia
Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG tekong dan tiga awak-awak warga Indonesia yang leka mengaut hasil laut di perairan negara ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), semalam.

Dalam kejadian jam 12.58 tengah hari itu, bot nelayan asing terbabit dikesan pada kedudukan kira-kira 50 batu nautika dari barat laut Pulau Pangkor, dekat Lumut.

Bot berkenaan yang berpangkalan di Medan, Indonesia itu dipercayai sudah dua hari berada di perairan negara dan kira-kira 150 kilogram hasil laut turut dirampas daripada bot berkenaan.

Pengarah Maritim Malaysia Perak Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, kegiatan bot berkenaan dikesan sepasukan anggota dari kapal Maritim Marlin yang sedang melakukan rondaan dan penguat kuasaan di perairan Perak.

Katanya, tekong dan tiga orang awak-awak warga Indonesia yang ditahan itu berusia antara 15 hingga 55 tahun.

“Mereka ditahan ketika sedang melakukan aktiviti merawai ikan dan semua nelayan terbabit kemudian diiringi ke Jeti Kampung Acheh, Sitiawan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Ogos 2018 @ 10:41 AM