NELAYAN Indonesia yang ditahan APMM selepas menceroboh perairan negara. FOTO Ihsan APMM
NELAYAN Indonesia yang ditahan APMM selepas menceroboh perairan negara. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama lima awak-awak termasuk seorang tekong yang menceroboh perairan negara berhampiran Pulau Jarak, Lumut, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari, bot itu dipercayai baru sehari berada di laut dan hanya sempat menangkap lima kilogram pelbagai jenis ikan di perairan negara.

Nelayan asing terbabit memberikan alasan menceroboh perairan negara kerana sumber perikanan di kawasan berkenaan lebih banyak dan lumayan.

Pengarah Maritim Perak Kepten Maritim Wan Mat Wan Abdullah berkata, bot itu ditahan aset maritim ketika melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan berkenaan.

“Bot nelayan asing ini dikesan kapal APMM yang melakukan rondaan dan penguatkuasaan di perairan negara.

“Pemeriksaan lanjut mendapati bot bersama lima lelaki iaitu seorang tekong dan empat awak-awak berusia antara 25 hingga 30 tahun sedang menangkap ikan di perairan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan melakukan penangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia.

“Bot bersama lima individu terbabit diiringi ke Pusat Tahanan Vesel, Sitiawan, untuk siasatan dan tindakan lanjut pihak berkuasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 12:51 PM