MUHAMMAD Suffi bersama pegawai meninjau dua kapal nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negeri di Pengkalan Ibu Pejabat Maritim, Kuala Terengganu. FOTO Baharom Bakar
MUHAMMAD Suffi bersama pegawai meninjau dua kapal nelayan Vietnam yang ditahan kerana menceroboh perairan negeri di Pengkalan Ibu Pejabat Maritim, Kuala Terengganu. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar

SEBUAH bot nelayan Vietnam membawa tekong serta 16 awak-awak ditahan selepas dikejar selama dua jam di perairan Terengganu, kelmarin.

Bot nelayan terbabit dikesan pegawai dan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika sedang menangkap ikan pada jarak 122 batu nautika dari perairan Kuala Terengganu, pada 11.17 pagi.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tekong bot itu cuba meloloskan diri ke perairan Vietnam selepas ternampak kapal KM Satria yang sedang melakukan rondaan.

"Kapal KM Satria mengejar bot berkenaan hampir dua jam sebelum menahan bot bersama 16 awak-awak serta tekong bot berusia antara 20 hingga 56 tahun.

"Selepas pemeriksaan dilakukan, lima metrik tan ikan, enam metrik tan ikan baja dan 200 kilogram (kg) sotong serta 2,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM1 juta dirampas," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri, di Kuala Terengganu, hari ini.

Muhammad Suffi berkata, ketika dalam perjalanan ke Pengkalan Maritim negeri, pegawai dan anggota KM Satria terserempak dengan sebuah lagi bot nelayan Vietnam bersama 12 awak-awak termasuk tekong sedang menangkap ikan pada jarak 106 batu nautika daripada perairan negeri, pada 3.27 petang.

Beliau berkata, bot dan 12 nelayan termasuk tekong berusia antara 20 dan 56 tahun itu ditahan kru kapal KM Mulia.

"Kami merampas 750kg ikan bercampur, 500kg ikan baja dan 1,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM1 juta.

"Pegawai dan anggota kami melakukan ujian suhu badan ke atas semua nelayan termasuk tekong bot sebelum dibawa ke lokap," katanya.

Muhammad Suffi berkata, tekong bot dan nelayan itu sekali lagi menjalani proses saringan Covid-19 dilakukan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum dimasukkan ke lokap APMM.

Beliau berkata, mereka akan didakwa mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara, selain Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 6:23 PM